SELANGOR FC
BERITA

Reviu Perlawanan MFLCC F1 | Selangor FC 3-2 PDRM FC | Masih Berbaki 90 Minit untuk Final 2

Feb 16, 2025 - FAS

Skuad Selangor FC mendahului perlawanan Akhir 1 MFL Challenge Cup 2024/24 menentang PDRM FC dengan keputusan 3-2 semalam di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.

Penyerang Gergasi Merah, Alvin Fortes terdahulu  menjaringkan gol pembukaan seawal minit ke-3 perlawanan sebaik sahaja menerima hantaran ‘chip’ daripada Ronnie Fernandez. Namun, kegembiraan tersebut tidak kekal lama apabila kapten pasukan, Safuwan Baharudin dilayangkan kad merah pada minit ke-11 selepas disahkan melalui VAR. Walau bagaimanapun, beraksi dengan kekurangan seorang pemain tidak mematahkan semangat pemain-pemain Merah Kuning, Alvin Fortes sekali lagi berjaya menambah jaringan gol pada minit ke-18 perlawanan apabila bola hadangan Bryan See jatuh tepat di hadapannya kemudian beliau terus merembat masuk bola tersebut dengan penuh keyakinan. Selepas itu, PDRM FC pula mula menunjukan taring mereka apabila sebelum tamat separuh masa pertama, mereka barjaya menjaringkan dua gol daripada minit ke-27 oleh Shahrel Fikir dan Badrul Affendy pada minit ke-39.

Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan bagi memastikan mereka pulang dengan satu jaringan lebih untuk dibawa ke pusingan kedua. Rezeki memihak kepada pasukan Gergasi Merah apabila Ali Olwan membuat larian ke tengah kemudian terus menyepak masuk jaringan ‘near post’ selepas menerima hantaran Quentin Cheng pada minit ke-50. Di saat-saat ahir perlawanan, Kalamullah Al-Hafiz menghadapi situasi dimana beliau berjaya menyelamatkan gawang Merah Kuning tiga kali berturut-turut sebelum wisel ditiup, mengekalkan skuad Gergasi Merah di hadapan.

Katsuhito Kinoshi, Ketua Jurulatih Selangor FC, menyatakan rasa syukur beliau dengan aksi yang dipamerkan oleh anak buahnya biarpun beraksi dengan hanya 10 pemain.

“Selangor bermain dengan 10 pemain untuk 80 minit, ini merupakan satu peristiwa yang kita perlu hadapi dengan baik. Dalam sukan bola sepak, kad merah adalah kad merah, tiada apa yang kita boleh lakukan tetapi kita yang perlu jadikan ia bukan satu penghalang. Tindakan yang kita pilih haruslah tepat dan tidak melulu mengikut rasa marah. Saya amat gembira mereka beraksi dengan baik dan tunjukan semangat kepasukanan yang cukup tinggi sehingga tamat perlawanan. Sekarang kita hanya perlu fokus untuk pusingan kedua dan berusaha untuk dapatkan kemenangan,” jelas Kinoshi semasa sidang media selepas tamat perlawanan.

Minggu hadapan akan menjadi malam penentuan Juara  bagi saingan MFL Challenge Cup 2024/25 dimana Selangor FC akan berdepan PDRM FC bagi perlawanan Akhir kedua  pada 22 Februari  ini jam 9 malam.

Pihak pengurusan Selangor FC ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada 3,768 penyokong yang telah hadir ke Stadium MBPJ, Kelana Jaya semalam bagi memberi sokongan kepada pasukan. Kehdairan dan suara ada sentiasa kami hargai.

Demi Kebanggaan!